KOTA BHARU: Kerajaan Negeri berusaha memperkukuhkan kerjasama dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang memiliki pelbagai kepakaran, sukarelawan dan jaringan yang luas.
Anggota Exco Kerajaan Negeri Zamakhshari Muhamad berkata, peranan dan khidmat NGO akan terus diperkasakan bagi membolehkan rakyat turut mendapat manfaat.
Katanya, kerjasama NGO dapat membuka lebih banyak ruang bagi membolehkan mereka menabur khidmat dan menyalur sumbangan kepada rakyat.
“Hari ini kita menghimpunkan pertubuhan daripada tujuh kluster dalam satu platform bagi memperkenalkan mereka kepada masyarakat,” katanya pada program Hero Fest NGO Kelantan 2026 di AEON Mall baru-baru ini.

Zamakhshari Muhamad melawat pameran
Hadir sama pada program itu Adun Bunut Payong, Shaari Mat Yaman, Senator Dr Wan Martina Wan Yusof dan pimpinan NGO.
Sempena program berkenaan orang ramai berpeluang mendapatkan khidmat pemeriksaan kesihatan, gigi, nasihat guaman serta program gunting rambut, urutan kaki dan tukar minyak hitam motosikal secara percuma.
Selain itu pelbagai pertandingan, aktiviti kekeluargaan, eksplorasi warisan dan budaya Orang Asli serta persembahan seni turut diadakan.

Masyarakat Orang Asli suku Temiar
Program dimeriahkan dengan kehadiran 43 penduduk Orang Asli Temiar dari Pos Pasik dan Pos Pulat, Gua Musang yang dikendalikan NGO Misi Kembara Dakwah (MKD).
Mereka memperkenalkan keunikan budaya, seni dan warisan masyarakat Orang Asli pada pameran yang diadakan. Selain itu mengadakan persembahan sewang, demonstrasi menyumpit serta cara pembuatan jerat.

Reruai pameran masyarakat Orang Asli
Sementara itu, reruai pameran Orang Asli yang diurusetiakan MKD dinobatkan sebagai johan booth terbaik.
MKD menyifatkan kejayaan itu sebagai pengiktirafan terhadap usaha mengangkat martabat, memperkenalkan budaya dan memelihara warisan masyarakat Orang Asli.
“Insya-Allah, MKD akan terus komited menjadikan dakwah sebagai jambatan penghubung masyarakat, merapatkan jurang, menyantuni komuniti pedalaman dan membina ukhuwah tanpa mengira latar belakang,” katanya.

Rombongan masyarakat Orang Asli dari Gua Musang

