Langkau ke kandungan

Khidmat Malaysia latih 20,000 sukarelawan hadapi bencana

KUALA KRAI: Seramai 600 pemimpin dan penggerak utama NGO Khidmat Malaysia dari seluruh negara menyertai Himpunan Petugas Bencana Khidmat Malaysia (HEBAT 7.0) di Pasir Raja Campsite baru-baru ini.

Pengerusi Khidmat Malaysia Dato’ Dr Ahmad Marzuk Shaary berkata, himpunan itu menjadi platform meningkatkan keupayaan kepimpinan lapangan serta kemahiran petugas dalam operasi menyelamat.

Dr Ahmad Marzuk Shaary menyampaikan ucapan

“Seramai 600 penggerak utama yang terdiri daripada kepimpinan peringkat negeri dan jaringan sukarelawan Khidmat Malaysia di seluruh negara,” katanya pada program berkenaan.

Program terbabit dihadiri pimpinan Khidmat Malaysia yang terdiri daripada wakil-wakil rakyat diadakan selama tiga hari bermula Jumaat lepas.

Takiyuddin Hassan bersama Task Force Kuala Krai

Hadir sama termasuk anggota-anggota Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Rohani Ibrahim, Hilmi Abdullah; Ahli Parlimen Kota Bharu, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan; Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff dan Ahli Parlimen Pendang, Dato’ Awang Hashim.

Dr Marzuk yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa berkata, HEBAT 7.0 disertai 600 penggerak utama yang akan menyelaras kesiapsiagaan sukarelawan Khidmat Malaysia di seluruh negara.

“Penggerak utama akan menyelaras gerak kerja lebih 20,000 sukarelawan bagi menghadapi pelbagai situasi kecemasan dan bencana,” katanya.

Rohani Ibrahim, Hilmi Abdullah bersama pimpinan Khidmat Malaysia

Manakala Awang ketika menyampaikan taklimat berkaitan persediaan keselamatan petugas bencana berkata, penilaian risiko penting sebelum petugas turun ke lapangan.

Kata beliau kelengkapan keselamatan perlu disediakan di samping menjaga komunikasi sesama anggota sepanjang operasi dijalankan.

“Setiap petugas perlu tahu peranan masing-masing dan tindakan yang perlu diambil apabila keadaan di lokasi tiba-tiba berubah,” ujarnya.

Demonstrasi kenderaan pacuan empat roda

Sempena HEBAT 7.0 diadakan demonstrasi pengendalian kenderaan pacuan empat roda bagi membantu tugas ketika berlaku bencana yang dikendalikan Skuad Bantu Kuala Krai.

Kenderaan 4×4 mampu bergerak di laluan yang mencabar bagi membawa anggota penyelamat, makanan, air, ubat-ubatan dan peralatan ke kawasan yang boleh dicapai kenderaan lasak.

Menurut NGO terbabit peralatan seperti winch begitu penting bagi membantu mengeluarkan kenderaan yang tersangkut di laluan mencabar termasuk dalam air dan selut.

Penduduk tempatan menyaksikan demonstrasi kenderaan lasak

“Setiap pemandu mesti tahu kemampuan kenderaannya kerana had kedalaman air berbeza mengikut model dan keadaan kenderaan.

“Jadi kenderaan 4×4 sangat berguna dalam operasi banjir. Ia membantu pasukan bergerak, membawa bekalan dan menyokong pemindahan. Yang penting, pemandu berpengalaman.

“Kenderaan tersebut berguna semasa banjir untuk sampai ke kawasan sukar untuk membawa bekalan dan membantu orang berpindah,” ujarnya.

 

Media Point

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook Threads

Teruskan membaca

Semua artikel ↗