Langkau ke kandungan

Penyatuan ummah mara hampiri Putrajaya

 

Oleh Aslani M |

KOTA BHARU: Demam
Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 semakin terasa sekarang ekoran pergolakan yang
berlaku membabitkan parti-parti yang mendukung Kerajaan Madani.

Pertembungan Pakatan
Harapan (PH) dan Umno kini menular ke Dewan Rakyat apabila beberapa ahli
parlimen DAP dan Amanah mendesak Timbalan Menteri Kerjaraya Dato’ Seri Ahmad
Maslan daripada Umno meletak jawatan.

Mengambil kira perkembangan
yang berlaku itu jentera pilihan raya PAS Kelantan diarah berada pada tahap
maksimum.

Pesuruhjaya PAS
Kelantan, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob berkata, jentera pilihan raya
PAS perlu bersiap sedia dengan mengikut arahan yang ditetapkan Jabatan Pilihan
Raya PAS negeri.

“PRU16 boleh diadakan
pada bila-bila masa sahaja dari sekarang,” katanya pada program Munaqasah
Ucapan Dasar Presiden di Dewan Tok Guru Nik Abdul Aziz PUTIK malam tadi.

Hadir sama
Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud; Timbalan Menteri
Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli
Shaari dan Setiausaha PAS negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat.

Sebelum itu Ketua
Penerangan PAS negeri, Mohd Asri Mat Daud menyampaikan kuliah Maghrib.

Ustaz Ahmad yang juga
Timbalan Mursyidul Am PAS berkata, agenda penyatuan ummah ternyata berjaya pada
Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dan Melaka.

Kata beliau berdasar
perkembangan tersebut peluang PAS melalui Perikatan Nasional (PN) dan BN untuk
menerajui Putrajaya pada PRU16 semakin cerah.

“Kalau PAS-PN
dapat mentadbir Putrajaya perkara utama yang perlu diberi perhatian
mengutamakan program bagi membantu rakyat.

“Contohnya kita
perlu memperluaskan program makan pagi kepada murid-murid miskin bagi membolehkan
mereka mendapat makanan berzat untuk mencergaskan minda,” ujarnya.

Menurutnya
program seumpama itu sudah lama dilaksanakan di Kelantan iaitu bantuan beras percuma
(al Itaam) sebanyak 10 kilogram dan makanan asas lain setiap bulan kepada
penduduk miskin.

Beliau juga
berkata, tema Muktamar PAS tahun ini ‘Penyelesaian Islam Mengisi Kemenangan’
tepat pada masanya dengan mengambil kira penyatuan ummah semakin diterima
rakyat.

Menteri Besar
pula berkata, laluan PAS-PN ke Putrajaya dianggap semakin hampir dengan mengambil kira perkembangan
yang berlaku pada PRN Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

“PRU16 sudah
tidak lama lagi, jadi kita kena pakat perkemaskan gerak kerja pilihan raya,”
ujar beliau.

Ahmad Fadhli pula
menyifatkan kemenangan PAS di Melaka dan Negeri Sembilan sebagai suatu kejutan
memandangkan kedua-dua negeri terbabit bukan kubu kuat PAS.

Bagaimanapun kata
beliau kemenangan diraih hasil daripada gelombang penyatuan ummah yang semakin
diterima rakyat.

Menurutnya berdasar
perkembangan tersebut PAS menyasarkan untuk menguasai sekurang-kurangnya 60
kerusi parlimen pada PRU16.

 

Media Point

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook Threads

Teruskan membaca

Semua artikel ↗