Langkau ke kandungan

Rakyat tidak perlu hadir berulang kali di kaunter

Oleh Damia Hana |

KOTA BHARU: Laporan
Pencapaian Perkhidmatan End-to-End (E2E) bagi suku kedua 2026, sebanyak 2,187
daripada keseluruhan 3,568 perkhidmatan kerajaan negeri berjaya
ditransformasikan kepada perkhidmatan E2E sepenuhnya.

Jumlah itu
bersamaan 61.29 peratus daripada keseluruhan perkhidmatan kerajaan negeri.

Menteri Besar,
Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, 
pendekatan E2E
membolehkan keseluruhan proses perkhidmatan, bermula permohonan, saringan,
pembayaran sehingga pengeluaran kelulusan atau keputusan diselesaikan secara
digital.

“Melalui
pendekatan ini, rakyat tidak lagi perlu hadir berulang kali ke kaunter atau
pejabat kerajaan bagi menyelesaikan urusan tertentu,” katanya ketika menjawab
soalan Mohd Adanan Hassan (PAS-Kelaboran) pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun)
hari ini.

Antara sistem
utama yang telah dibangunkan dan diperkasakan termasuk Sistem Skim Bantuan
Gerbang Az-Ziwaaj (e-Aziwaaj) bagi mengurus permohonan bantuan perkahwinan
bernilai RM1,000 secara lebih sistematik, cekap dan telus.

Selain itu,
Sistem e-Agihan MAIK turut menyediakan kemudahan permohonan bantuan zakat
secara dalam talian, termasuk semakan kelayakan, pengemaskinian maklumat,
pengurusan dokumen dan semakan status permohonan.

Kerajaan negeri
juga memperkenalkan Portal Pembayaran Kerajaan Negeri Kelantan (SerambiPay)
sebagai platform pembayaran berpusat bagi pelbagai perkhidmatan jabatan dan
agensi kerajaan.

Menteri Besar
berkata, kerajaan negeri terus memperkukuh kecekapan pentadbiran awam menerusi
pelaksanaan modul Pengurusan Ihtirafi serta transformasi digital bagi
meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan.

Katanya juga
pelaksanaan modul Pengurusan Ihtirafi merupakan langkah penting dalam usaha memperkasa
kompetensi dan profesionalisme penjawat awam negeri.

“Modul ini
menumpukan pengukuhan kompetensi, integriti, disiplin kerja serta kemahiran
menyelesaikan masalah supaya setiap pegawai mampu melaksanakan amanah dengan
lebih cekap, tepat dan berkesan,” katanya.

Pengurusan
Ihtirafi berteraskan lima prinsip utama iaitu Hawariyyun yang membina kesatuan
dalam mendukung dasar dan amanah kerajaan, di samping prinsip yang menekankan
akhlak Islami, integriti, komitmen terhadap amanah, peningkatan ilmu dan
kemahiran serta pemeliharaan maruah profesion.

Prinsip berkenaan
perlu diterjemahkan melalui tindakan yang boleh dinilai, termasuk mempercepat
urusan rakyat, meningkatkan ketepatan keputusan, mengurus kewangan secara
berhemat dan menyelesaikan aduan dengan berkesan.

Portal Hasil
Tanah Kelantan pula memudahkan pemilik tanah membuat carian hak milik, menyemak
status serta jumlah cukai tanah dan melaksanakan pembayaran secara elektronik.

Bagi merancakkan
sektor ekonomi pula, Portal Invest Kelantan dibangunkan sebagai platform
berpusat untuk memudah cara dan memantau permohonan pelaburan, termasuk
penyelarasan dengan jabatan teknikal serta Jawatankuasa Sehenti Pelaburan
Negeri.

Turut
diperkasakan Sistem Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah Negeri Kelantan (eGAT)
yang mendigitalkan pengurusan aduan, risikan, operasi, laporan tindakan dan
siasatan secara berpusat.

Selain itu,
Sistem Permohonan Rumah Mampu Milik Kelantan (e-RMMK) diwujudkan bagi mengurus
permohonan perumahan secara lebih sistematik dan teratur.

Sistem Pengurusan
Mukim Negeri Kelantan (e-Qaryah) pula memudahkan pengurusan maklumat penduduk
dan anak mukim, termasuk urusan pengesahan status anak mukim serta permohonan
kebenaran berkahwin.

Turut
disenaraikan Sistem Repositori Maklumat Perundangan Negeri Kelantan (eQanun Kelantan)
bagi penyimpanan dan penyampaian maklumat perundangan negeri serta Sistem Skim
Pembiayaan Kredit Mikro Usahawan Negeri Kelantan (e-Mikro) untuk mengurus
permohonan pembiayaan usahawan.

“Kesemua sistem
tersebut turut disokong Portal Digital Kelantan yang berfungsi sebagai gerbang
digital bersepadu bagi menghimpunkan maklumat, sistem dan perkhidmatan kerajaan
negeri dalam satu platform,” kata Menteri Besar.

Ustaz Mohd
Nassuruddin berkata, pelaksanaan pelbagai inisiatif berkenaan merupakan
sebahagian usaha berterusan kerajaan negeri untuk meningkatkan profesionalisme
penjawat awam, mempercepat urusan rakyat dan memastikan sistem pentadbiran
kerajaan sentiasa relevan dengan perkembangan teknologi.

Media Point

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook Threads

Teruskan membaca

Semua artikel ↗