Langkau ke kandungan

RM48.29 juta projek pemuliharaan Pantai Bisikan Bayu

 

Projek pemuliharaan Pantai Bisikan Bayu hingga sempadan Kelantan-Terengganu diluluskan RM48.293 juta dan dijadual dilaksanakan antara 2026 hingga 2028.

Projek pemuliharaan pantai dari Pantai Bisikan Bayu hingga ke sempadan Kelantan-Terengganu diluluskan dengan peruntukan sebanyak RM48.293 juta di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13), Rolling Plan 1 (2026).

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Kelantan, Dato’ Dr Haji Izani bin Husin berkata, projek tersebut akan dilaksanakan oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia.

Menurut beliau, pelaksanaan projek itu dijadualkan mengambil masa tiga tahun, bermula 2026 hingga 2028.

Kerja Ukur Kejuruteraan Sedang Dilaksanakan

“Ketika ini, kerja-kerja ukur kejuruteraan sedang dilaksanakan. Pelantikan perunding bagi penyediaan reka bentuk projek akan dibuat selepas data ukur diperoleh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, YB Tuan Nor Sham bin Sulaiman dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan.

Nor Sham meminta penjelasan mengenai perkembangan usaha menangani masalah hakisan pantai dari Pantai Bisikan Bayu hingga ke sempadan Besut.

Kelulusan peruntukan RM48.293 juta itu membolehkan projek pemuliharaan pantai berkenaan diteruskan ke peringkat seterusnya.

Bagaimanapun, penyediaan reka bentuk projek masih menunggu keputusan kerja ukur kejuruteraan yang sedang dijalankan sebelum pelaksanaan selanjutnya dapat diteruskan.

Media Point

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook Threads

Teruskan membaca

Semua artikel ↗