Oleh Damia Hana |
KOTA BHARU: Kerajaan
negeri menyediakan kemudahan perlindungan sementara kepada wanita yang
berhadapan dengan keganasan rumah tangga menerusi Rumah Perlindungan Wanita
Sinar Harapan, Pusat Sokongan Sosial Setempat (Transit) dan Rumah Selamat.
Pengerusi
Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan, Dato’
Rohani Ibrahim berkata, kerajaan menyediakan khidmat nasihat, kaunseling serta
sokongan sosial bagi membantu mangsa menghadapi situasi dialami dan membina
semula kehidupan mangsa.
Katanya, sebanyak
122 kes berkaitan keganasan rumah tangga dirujuk kepada Mawaddah Centre
sepanjang tahun 2025.
“Kerajaan negeri
mengambil pendekatan menyeluruh menangani isu berkenaan menerusi pelaksanaan
Pelan Strategik Program Bersepadu Menangani Gejala Sosial Negeri Kelantan.
“Pelan berkenaan
mengandungi kluster penderaan yang memberi perhatian khusus kepada isu
penderaan dan keganasan rumah tangga,” katanya ketika menggulung perbahasan
pada persidangan Dun semalam.
Kata beliau pendekatan
kerajaan merangkumi tiga aspek utama iaitu advokasi, penguatkuasaan dan perlindungan
serta intervensi dan pemulihan.
Menurutnya juga
pelbagai program pendidikan, kempen kesedaran dan pembinaan jati diri dilaksana
bagi meningkatkan kefahaman mengenai kepentingan institusi keluarga serta
pencegahan keganasan rumah tangga.
“Antara
program yang dilaksanakan termasuk Kempen Kesedaran Keganasan Rumah Tangga dan
Penderaan Kanak-kanak dengan kerjasama Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ
II),” ujarnya.
Selain itu
Bengkel Bina Keluarga serta bengkel peningkatan kemahiran petugas Pusat Khidmat
Dun bagi mengendalikan aduan berkaitan keganasan rumah tangga.
Program Suri
Ummah Circle turut memberi pendedahan berkaitan penjagaan kesihatan mental
kepada golongan suri rumah.
Manakala aspek
penguatkuasaan dan perlindungan dilaksanakan melalui kerjasama strategik dengan
Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK),
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta agensi berkaitan.
“Selain Mawaddah
Centre, kerajaan negeri turut melaksanakan program Big Hero bagi membentuk lelaki
qawwam di setiap Dun.
“Majlis
Perundingan Wanita Parlimen (MPWP) pula melaksanakan pendekatan turun padang
menerusi program We Love We Care bagi menziarahi, menyantuni serta mengenal
pasti keperluan mangsa dan keluarga yang terlibat,” ujarnya.
Rohani juga berkata
kerajaan memberi perhatian terhadap usaha memperluas penyertaan wanita dalam
kepimpinan, pentadbiran dan proses membuat keputusan di semua peringkat.
Katanya, seramai
48 wanita dlantik sebagai Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), manakala
43 Pegawai Tadbir Negeri dan Pegawai Tadbir Ugama wanita berkhidmat di Pejabat
Setiausaha Kerajaan Negeri.
Selain itu,
seramai 19 wanita dilantik sebagai mudirah atau pengetua di bawah Yayasan Islam
Kelantan (YIK), manakala Majlis Perundingan Wanita Negeri (MPWN) dianggotai 36
orang berperanan memberi pandangan, nasihat dan input strategik berkaitan
pembangunan wanita.
MPWP melibatkan
442 wanita di seluruh Kelantan sebagai penghubung antara kerajaan negeri dengan
masyarakat di peringkat Parlimen bagi membawa suara, isu dan keperluan wanita
akar umbi.
Beliau juga
berkata, 86 penghulu wanita Kelantan berperanan memperkukuh peranan wanita
dalam pentadbiran dan pembuatan keputusan di peringkat komuniti.
“Dalam usaha melahirkan
pelapis kepimpinan wanita, Unit Kebajikan Keluarga dan Wanita (UKeKWa) melaksanakan
projek Perantis Kepimpinan Wanita Genius (Abqariah).
“Seramai empat perantis
terpilih sedang mengikuti latihan praktikal lapangan selama tiga bulan di Dewan
Rakyat, Dewan Negara dan Dewan Undangan Negeri,” ujarnya.
Kerajaan negeri turut
meningkatkan peruntukan bagi golongan Orang Kurang Upaya (OKU) daripada
RM500,000 kepada RM600,000 bermula tahun ini.





