
KUALA TERENGGANU:
Pelantikan Ahli Jawatankuasa Gerakan Terengganu Chan Chee How, 51 sebagai Adun
lantikan mewakili masyarakat bukan Islam untuk membawa
suara masyarakat minoriti di negeri itu.
Presiden Gerakan
Dato’ Dr Dominic Lau berkata, pelantikan tersebut bukan sekadar satu
penghormatan, malah merupakan amanah dan tanggungjawab yang cukup besar.
Katanya, pelantikan
itu bukan kerana mengejar gelaran atau kedudukan peribadi, sebaliknya demi
memikul tanggungjawab menjadi jambatan penghubung antara masyarakat bukan Islam
dengan kerajaan negeri.
“Sama ada
masyarakat Cina, India, mahupun komuniti bukan Islam yang lain hak, budaya, pendidikan, kebebasan beragama
serta tuntutan munasabah mereka wajar dihormati dan diberi perhatian
sewajarnya.
“Setinggi-tinggi
penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Kerajaan Negeri Terengganu
khususnya Menteri Besar Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di atas
pelantikan tersebut,” katanya pada kenyataan.
Semalam Chan Chee
How mengangkat sumpah sebagai Adun Lantikan di hadapan Speaker Dewan Undangan
Negeri Terengganu, Dato’ Mohd Nor Hamzah.
Pelantikan itu selaras
dengan peruntukan Fasal XXVII (2), Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Terengganu
(Bab Yang Pertama) yang membolehkan pelantikan ahli bagi mewakili masyarakat
bukan Islam apabila golongan tersebut tidak mempunyai wakil yang dipilih dalam
Dun.
Dr Dominic
berkata, dalam sebuah masyarakat majmuk, amalan demokrasi tidak seharusnya
hanya mendengar suara golongan majoriti, sebaliknya golongan minoriti juga
wajib diberi ruang.
“Kami menghargai
peluang ini dan membuktikan nilai pelantikan melalui tindakan nyata demi menjaga
amanah kerajaan negeri serta memenuhi harapan rakyat.
“Berbeza
pandangan, namun kekal menghormati; berlainan latar belakang, namun punya
kesepakatan; meraikan kepelbagaian, tanpa berpecah-belah. Inilah semangat
Malaysia yang sentiasa kami pertahankan,” ujarnya.
Chee How memiliki
jazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan dan merupakan seorang ahli perniagaan.
Pernah berkhidmat sebagai Pengurus Perhubungan Awam Projek ECRL Seksyen 10 pada
2022 hingga 2025.
Selain itu berpengalaman
dalam pengurusan syarikat dan jualan. Menguasai Bahasa Melayu, Inggeris,
Mandarin dan dialek Hakka.


