Langkau ke kandungan

RM23.3 juta kos selenggara saliran hadapi tengkujuh

 

Oleh Damia Hana |

KOTA BHARU: Kerajaan
negeri melalui agensi berkaitan melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan parit
serta sistem saliran sedia ada di seluruh Kelantan sebagai persediaan
menghadapi musim tengkujuh.

Exco Kerjaraya,
Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Dr Izani Husin berkata, sebanyak
RM23.3 juta diperuntukkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi
melaksanakan penyelenggaraan terbabit.

Katanya, daripada
jumlah tersebut, RM18 juta disalurkan Kerajaan Persekutuan, manakala RM5.3 juta
lagi diperuntukkan Kerajaan Negeri.

“Hampir
keseluruhan kerja penyelenggaraan yang dilaksanakan Jabatan Pengairan dan
Saliran (JPS) kini berada pada peringkat akhir dan dijangka disiapkan sebelum
ketibaan musim tengkujuh.

“Alhamdulillah,
hampir RM24 juta digunakan sebaik mungkin untuk kerja-kerja penyelenggaraan
parit, saliran, alur air dan sebagainya,” katanya 
menjawab soalan
Nor Asilah Mohamed Zin (PAS-Limbongan) pada sidang Dewan Negeri Kelantan hari
ini.

Sehubungan itu
beliau merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada jabatan-jabatan terbabit
iaitu JPS, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Bagaimanapun kata
beliau peruntukan tersebut hanya mencukupi untuk kerja penyelenggaraan parit
dan saliran sedia ada, manakala permohonan tambahan belum diluluskan berikutan
kekangan kewangan.

Beliau juga
berkata, usaha menangani risiko banjir memerlukan komitmen semua agensi termasuk
pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan sistem saliran sentiasa berfungsi
dengan baik.

Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam

Katanya, Majlis
Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dan beberapa PBT lain melaksanakan
kerja pembersihan secara gotong-royong bagi memastikan aliran air di kawasan
pentadbiran tidak terganggu.

“PBT perlu
menyelenggara rangkaian parit di bawah seliaan masing-masing. 
Tahun ini juga
PBT melaksanakan kerja-kerja yang sama untuk mengalirkan air dengan lebih lancar,”
katanya.

Beliau turut berharap
kerjasama erat JPS dan PBT dapat diperkukuh bagi memastikan sistem saliran
negeri berada pada tahap terbaik untuk membantu mengurangkan risiko banjir
ketika musim tengkujuh.

 

 

Media Point

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook Threads

Teruskan membaca

Semua artikel ↗