Langkau ke kandungan

Deposit minimum RM15,000 perkukuh aliran tunai TH?

 

Oleh Damia Hana |

KUALA LUMPUR:
Peningkatan deposit minimum Tabung Haji daripada RM1,300 kepada RM15,000 akan
memberi kesan kepada bakal jemaah yang perlu menyediakan jumlah simpanan itu bagi mendapatkan
nombor giliran haji.

Ahli Parlimen
Pengkalan Chepa, Dato’
Dr Ahmad Marzuk Shaary
berkata, cuba bayangkan bagi sebuah keluarga yang mempunyai 10 ahli hendak
menunaikan haji perlu menyediakan sehingga RM150,000.

 “Ini sangat
membebankan. Sedangkan ada perkara lain yang perlu dibuat dengan duit tersebut seperti
pendidikan anak-anak dan sebagainya,” katanya di parlimen semalam.

Sebelum ini media
melaporkan penetapan syarat simpanan minimum RM15,000 bagi menerima tawaran
menunaikan haji selaras dengan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk
menaikkan bayaran pendaftaran asas.

Menteri di
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan dilapor berkata, inisiatif menerusi Pelan Persediaan Haji Seruan Istito’ah bertujuan membina
disiplin kewangan.

Oleh Dr Ahmad
Marzuk meminta kerajaan menyemak semula keputusan menaikkan deposit kerana
dikhuatiri membebankan rakyat, khususnya keluarga berpendapatan sederhana.

Katanya, konsep
istitaah atau kemampuan menunaikan haji tidak sepatutnya disamakan dengan
syarat mendapatkan nombor giliran memandangkan tempoh menunggu boleh mencecah
puluhan tahun.

Menurutnya,
istitaah merangkumi kemampuan kewangan, kesihatan, keselamatan serta nafkah
tanggungan ketika seseorang bakal jemaah hendak berangkat menunaikan haji,
bukannya baru mendaftar untuk mendapatkan giliran.

“Saya rasa
kerajaan dan pentadbiran kerajaan ini agak keliru dan Perdana Menteri perlu  campur tangan dalam soal ini.

“Bagi sahaja
nombor giliran kerana giliran mereka mungkin 30 tahun, 40 tahun, 50 tahun akan
datang. Jadi kalau dinilai istitaah kena ada minimum deposit RM15,000,
sedangkan bila hendak pergi haji mungkin 30 tahun lagi,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya
jumlah RM15,000 sebagai syarat pentadbiran, kerajaan perlu menjelaskannya
sebagai ketetapan pentadbiran dan tidak menggunakan konsep istitaah sebagai
sandaran.

Beliau turut
bimbang peningkatan deposit minimum kepada RM15,000 mempunyai kaitan dengan
keperluan memperkukuh aliran tunai dan kecairan TH susulan isu kewangan yang melanda
sekarang.

“Jangan
jadikan rakyat mangsa kerana kegagalan kerajaan menunaikan obligasi sukuk UGSB sehingga
rakyat terpaksa menggunakan wang sendiri untuk mengukuhkan kecairan Tabung
Haji,” katanya.

Dr Ahmad Marzuk
turut menyatakan sokongan terhadap penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI)
bagi menyiasat dakwaan kegiatan mafia korporat yang perlu ditangani secara menyeluruh.

 

 

Media Point

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook Threads

Teruskan membaca

Semua artikel ↗