KUALA LUMPUR: Sidang
Dewan Rakyat hari ini mencatat sejarah apabila Timbalan Speaker Dato’ Seri Dr Ramli
Mohd Nor berpindah ke kerusi ahli parlimen seketika semasa mempengerusikan
mesyuarat.
Ketika itu tiada
pengerusi yang mengendalikan mesyuarat tersebut, biarpun pada peringkat awal dicadangkan
Dato’ Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) supaya dilantik seseorang untuk
mempengerusikan mesyuarat seketika.
Bagaimanapun
Ramli menjelaskan tindakannya itu tidak bertentangan dengan peraturan
mesyuarat.
![]() |
| Dr Ramli Mohd Nor |
“Saya ingin
bertanya kepada menteri berkaitan perkara P27, di bawah Butiran 8100, iaitu
pembinaan jalan baharu.
“Saya, Ahli
Parlimen Cameron Highlands, ingin bertanya tentang perkembangan projek
pembinaan Jalan Pos Senrod-Lipis, dianggar kos sebanyak RM320 juta sepanjang 34 kilometer, telah diumumkan dalam Rancangan Malaysia Ketiga Belas
(RMK13),” katanya.
Selain itu beliau
ingin mendapat penjelasan mengenai pembinaan jalan dari jambatan di Pos Lenjang
ke Pos Titom, Lipis, dengan kos kira-kira RM90 juta.
Kata beliau jalan
dari Pos Lenjang ke Pos Titom terletak di bawah kawasan Dewan Undangan Negeri
(Dun) Jelai, yang diwakili Menteri Besar Pahang.
![]() |
| Jalan di Dun Jelai |
“Saya difahamkan tender
projek tersebut telah dibuka. Walau bagaimanapun, perkembangan terbaharu yang
dimaklumkan pelaksanaannya telah ditangguhkan, termasuk penangguhan Surat
Setuju Terima (SST) kontrak.
“Selain itu,
terdapat enam projek lain yang turut ditangguhkan dan SST kontraknya juga belum
dikeluarkan. Malah, tiada tempoh masa yang ditetapkan mengenai bila
projek-projek tersebut akan diteruskan,” ujarnya.
Menurutnya juga pembinaan
jalan dari Kampung Sungai Ipil ke Jalan Hutan Melintang, di kawasan Parlimen
Bagan Datuk, yang diwakili Timbalan Perdana Menteri (Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi).
Begitu juga pembinaan
jalan dan jambatan konkrit dari Kampung Enggom ke Sungai Mas hingga ke Kampung
Becah Salak, Kuala Krai, Kelantan, di bawah kawasan Parlimen Kuala Krai.
![]() |
| Teluk Renjuna |
Selain itu, pembinaan
jalan dan jambatan yang menghubungkan Kampung Kok Majid ke Pulau Teluk Renjuna,
di bawah kawasan Parlimen Tumpat, Kelantan.
Menaik taraf
jalan dari Kampung Wakaf Baru ke Kampung Saring, di bawah kawasan Parlimen
Pasir Puteh. Menaik taraf jalan dari Seksyen 121, Kampung Apong, Pengkalan
Hulu, Hulu Perak, di bawah kawasan Parlimen Gerik.
Menaik taraf
Jalan Parit Hailam, dari Jalan Parit Raja Darat ke Jalan Parit Karjo, di bawah
kawasan Parlimen Sri Gading, Adunnya Nor Rashidah Ramli dari Barisan Nasional
(BN).
“Saya melihat secara
keseluruhannya, projek-projek yang ditangguhkan tersebut melibatkan kawasan
yang diwakili wakil rakyat BN dan Perikatan Nasional (PN).
“Justeru, Yang
Berhormat Menteri, saya ingin mendapatkan penjelasan dalam Dewan ini tentang
sebab projek-projek berkenaan ditangguhkan,” katanya.
Beliau juga
berkata, agak pelik kerana projek di kawasan Timbalan Perdana Menteri sendiri
turut ditangguhkan.
“Apa yang ingin
saya ketahui ialah siapakah yang memberi arahan supaya projek-projek terbabit
ditangguhkan dan apakah sebab sebenar penangguhan tersebut?
“Itu sahaja.
Dengan ini, saya kembali mengambil tempat sebagai pengerusi. Terima kasih,
Yang Berhormat Cameron Highlands,” tambahnya.





