KOTA BHARU: Usaha
untuk menaik taraf bahagian tertentu di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri
Kelantan (JAHEAIK) dilaksanakan secara berfasa bagi meningkatkan keberkesanannya.
Exco Pembangunan
Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Ustaz Mohd Asri Mat Daud
berkata, di JAHEAIK terdapat beberapa bahagian yang mempunyai fungsi tersendiri
dan perlu diberi keutamaan dari sudut penaiktarafan.
Kata beliau
antaranya menaik taraf Bahagian Penguatkuasaan menjadi sebuah jabatan. Begitu
juga Bahagian Halal yang turut berpotensi dinaik taraf menjadi sebuah jabatan.
“Namun, kita
perlu melihat kemampuan kewangan negeri serta keupayaan kerajaan untuk melaksanakan
usaha tersebut.
“Walau
bagaimanapun, usaha ini telah dimulakan. Sebagai contoh, kerajaan negeri telah
mengambil langkah memisahkan Jabatan Pendakwaan Syariah yang sebelum ini berada
di bawah JAHEAIK,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Zameri Mat Nawang
(PAS-Jelawat) pada sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini.
![]() |
| Zameri Mat Nawang |
Menurutnya Jabatan
Pendakwaan Syariah kini dipisahkan sebagai sebuah jabatan tersendiri.
Begitu juga usaha
kedua menaik taraf Bahagian Penguatkuasaan menjadi sebuah jabatan pada masa
akan datang.
“Namun, dalam
keadaan tertentu, penambahan anggota penguat kuasa terlebih dahulu sudah
memadai untuk memastikan pelaksanaan tugas berjalan dengan baik dan lancar.
“Kita akan
melaksanakan secara berfasa, iaitu dengan menambah anggota penguat kuasa
terlebih dahulu sebelum melihat kepada fasa seterusnya untuk menaik taraf bahagian
tersebut menjadi sebuah jabatan. Begitu juga bahagian-bahagian lain,” katanya.
![]() |
| Dr Hafidzah |
Menjawab soalan
asal Dr Hafidzah Mustakim (PH-Kota Lama) katanya, kerajaan negeri melalui JAHEAIK,
khususnya Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Syariah, sentiasa melaksanakan
tindakan penguatkuasaan.
Menurutnya daripada
tahun 2023 hingga 2025, sebanyak 2,135 kes tangkapan jenayah syariah direkodkan
dan diambil tindakan.
Kata beliau kes-kes
terbabit merupakan kesalahan dan bukan melibatkan urusan perceraian,
perkahwinan atau hubungan suami isteri.
Beliau berkata, daripada
jumlah tersebut, kesalahan tertinggi iaitu khalwat di bawah Seksyen 50, iaitu
sebanyak 1,446 kes. Kedua tertinggi perbuatan atau percakapan tidak sopan di bawah Seksyen 21, (435
kes).
Selain itu,
terdapat 84 kes hamil luar nikah di bawah Seksyen 49, 55 kes mendedahkan aurat
di tempat awam di bawah Seksyen 23, dan 25 kes tidak menghormati bulan Ramadan
di bawah Seksyen 10.
Turut direkodkan
21 kes lelaki berlagak seperti perempuan di bawah Seksyen 19, tiga kes
perempuan berlagak seperti lelaki di bawah Seksyen 20, tiga kes menggalakkan
kemungkaran dan 63 kesalahan lain. Kesemuanya berjumlah 2,135 kes.
“Bagi tahun 2026,
berdasarkan pecahan mengikut jajahan, Kota Bharu mencatatkan 282 kes, manakala
Bachok sebanyak 233 kes. Kedua-dua jajahan terbabit antara yang mencatatkan jumlah
kesalahan syariah tertinggi.
“Alhamdulillah,
terdapat jajahan yang mencatatkan sifar kes, manakala jajahan lain merekodkan
kurang daripada 50 kes. Antaranya ialah Jeli dengan 25 kes,” ujarnya.
Beliau juga
berkata, enakmen yang dilaksanakan bertujuan sebagai langkah pencegahan bagi memastikan
jenayah, kesalahan atau kemungkaran yang berlaku dapat dibendung
dan dihapuskan sepenuhnya.




