Oleh A Rahman
Haron | Foto Arjuna Beta |
PASIR PUTEH:
Perdana Menteri menegaskan agenda kebajikan rakyat mesti terus dijunjung dan
disegerakan, khususnya membasmi kemiskinan yang masih membelenggu masyarakat.
Dato’ Seri Anwar
Ibrahim berkata, peruntukan sebanyak RM20 juta dilulus bagi pelaksanaan program
pembasmian kemiskinan di Kelantan, yang akan diselaras Unit Penyelarasan dan
Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri.
Katanya,
penyelarasan itu bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan serta manfaatnya
sampai kepada golongan yang memerlukan.
“Insya-Allah,
Kerajaan Madani akan terus komited membantu Kelantan dari segenap aspek, demi
memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara dan pembangunan dapat
dinikmati semua,” katanya pada Majlis Ramah Mesra di Masjid Gong Chapa, Temila
semalam.
Hadir sama
Menteri Besar Kelantan Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud; Ketua
Setiuasaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar; Timbalan Menteri Besar Dato’
Dr Mohamed Fadzli Hassan dan wakil-wakil rakyat.
Pada majlis itu
Perdana Menteri mengumumkan peruntukan sebanyak RM500,000 membaik pulih Sekolah
Menengah Ugama (Arab) Darul Ulum Al-Muhammadiah di Kampung Kolam, Bachok yang
terbakar baru-baru ini.
Anwar juga
berkata, mengimarahkan institusi masjid sebagai nadi penyatuan ummah.
Sementara itu
Menteri Besar merakam penghargaan kepada Perdana Menteri kerana mengumumkan
peruntukan sebanyak RM20 juta bagi menangani kemiskinan dan RM500,000 untuk membaikpulih
SMU(A) Darul Ulum Al-Muhammadiah.
Katanya, bantuan
tersebut akan digunakan bagi melaksanakan kerja-kerja membaik pulih akibat
kebakaran yang berlaku baru-baru ini.
“Di atas
peruntukan yang diumumkan, saya merakamkan penghargaan dan Kelantan amat
mengalu-alukannya demi kelangsungan dan kesejahteraan rakyat,” ujarnya.
Sempena lawatan
ke Pasir Puteh, Perdana Menteri turut mempengerusikan mesyuarat Pembangunan
Jajahan Pasir Puteh yang diadakan di Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh.
Sebelum itu
ketika merasmikan terminal baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP),
Anwar memuji pembinaan yang sarat dengan simbol dan reka bentuk moden
bercirikan identiti tempatan.
Beliau berkata,
bangunan yang menjadi simbol kemajuan dan kebangsaan rakyat Kelantan.
“Bukan sahaja
sekadar pintu masuk udara tetapi juga menjadi pandangan pertama bagi pengunjung
ke Negeri Cik Siti Wan Kembang.
“Sepanjang saya
berkhhidmat sebagai Perdana Menteri beberapa kali mengadakan lawatan kerja ke
Kelantan dapat melihat lapangan terbang ini dibina dengan reka bentuk tempatan
yang menarik,” katanya.
Menurutnya juga
pembangunan bukan sekadar meningkatkan mutu perkhidmatan, malah berperanan
sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi setempat, merangkumi sektor
pelancongan, perdagangan dan pelaburan.
Terminal baharu
itu mampu menampung jumlah penumpang daripada 1.5 juta kepada 4 juta serta
membuka laluan baharu ke pasaran antarabangsa.
Projek naiktaraf
bernilai RM440 juta merangkumi terminal baharu yang lebih moden, pemanjangan
landasan kepada 2,800 meter, serta kemudahan tiga jejambat pesawat. Projek itu
bermula pada April 2021.





