
TANGGA BATU:
Biarpun baharu dua hari bergelar Yang Berhormat, namun Adun Paya Rumput Haji
Rafie Ahmad sudah turun padang menziarahi rakyat.
Hari ini beliau
menziarahi seorang penduduk, Firdaus di KP23, Taman Krubong Perdana, yang
terjatuh dari tangga dan mengalami pendarahan.
Katanya, ambulans
dipanggil bagi membawa penduduk terbabit untuk mendapatkan rawatan lanjut di
Hospital Alor Gajah.
“Sama-sama kita
doakan agar Allah SWT mempermudah segala urusan rawatannya, mengurniakan
kesembuhan serta memberikan ketenangan kepada keluarganya,” katanya pada
catatan di laman sosialnya.
Semalam beliau
dan wakil-wakil rakyat lain hadir pada majlis angkat sumpah Dato’ Seri Utama Ab
Rauf Yusoh sebagai Ketua Menteri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri di Ayer
Keroh.
Kata beliau
semoga Allah SWT sentiasa mengurniakan Dato’ Seri Rauf kesihatan yang baik,
kebijaksanaan, kekuatan serta dipermudahkan segala urusan dalam memikul amanah
dan tanggungjawab menerajui pentadbiran Melaka.
Pada Pilihan Raya
Negeri (PRN) Sabtu lepas beliau menang di kerusi Dun Paya Rumput dengan
majoriti 7,185 undi. Pada penggal lepas kerusi tersebut diwakili Barisan
Nasional (BN).
Manakala seorang
lagi calon PAS-PN Ridzuan Sarif berjaya merampas Dun Bukit Katil daripada
Pakatan Harapan yang menguasai Dun terbabit sejak dua penggal lepas.
Ridzuan menang
dengan majoriti 6,607 undi mengatasi calon Amanah, Dato’ Seri Adly Zahari. Semalam beliau
juga hadir majlis angkat sumpah Ketua Menteri Melaka.
“Saya merakam
ucapan tahniah kepada Dato’ Seri Utama Ab Rauf di atas pelantikan sebagai Ketua
Menteri Melaka. Semoga dapat menjalankan tugas dengan amanah dan
bertanggungjawab,” ujarnya.
Seorang lagi
calon PN yang mewakili Wawasan Dr Mohd Yadzil Yaakub pula mengekalkan kerusi
Dun Bemban dengan majoriti 7,741 undi.
Katanya, pada
hari pertama semalam beliau bersama penduduk menunaikan solat Subuh di Masjid
An Nur Taman Maju.
“Alhamdulillah,
setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT. Dengan penuh rasa rendah hati,
saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada seluruh pengundi Dun Bemban
atas kepercayaan dan mandat yang diberikan,” katanya.
Beliau berkata,
kali ini tanggungjawab yang berbeza kerana tidak lagi berada di saf pembangkang.
Menurutnya
kemenangan bukan sekadar angka, sebaliknya lambang kepercayaan dan harapan
rakyat Bemban.
“Saya sedar
kemenangan bukan alasan untuk berasa selesa atau berbangga, sebaliknya, ia
adalah amanah yang mesti dibalas dengan khidmat dan kerja bersungguh-sungguh,”
ujarnya.
Semalam Ketua Menteri
mengumumkan hari ini (16 November) sebagai cuti khas negeri sempena kemenangan BN
dan PN pada PRN Sabtu lepas.
Beliau berkata
cuti berkenaan diberi sebagai tanda penghargaan kepada rakyat Melaka yang
memberi mandat kepada gabungan tersebut untuk meneruskan pentadbiran negeri.



