KUALA LUMPUR: Bidaan
nombor plat kenderaan PAS 787, gambar Allahyarham Tuan Guru Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat serta vest celoreng peninggalan bekas Menteri Besar menarik
perhatian ramai.
Program bidaan
tersebut diadakan sempena Majlis Makan Malam Dana PRU-16 PAS Kota Bharu di Shah
Alam malam tadi.
Bidaan plat PAS
787 dimenangi seorang usahawan industri minyak dan gas yang berasal dari
Kelantan.
Majlis turut
diserikan dengan persembahan sajak serta sesi dialog bersama pelakon terkenal, Sabri
Yunus dan Timbalan Pengerusi Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) Melaka, Nick
Yong.
Sesi dialog
tersebut dikendalikan Setiausaha DHPP Kelantan, R Hareetaran. Program tambah meriah
dengan persembahan nyanyian oleh Rozi Kemang Berduri.
Setiausaha Badan
Perhubungan PAS Kelantan, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, program terbabit mencatat
kelainan dengan bidaan barangan milik Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz.
Katanya, barangan
peninggalan Allahyarham mengimbau kembali kenangan terhadap seorang tokoh yang
banyak mencurahkan jasa dan bakti dalam kepimpinan, pendidikan serta dakwah.
“Majlis malam
tadi bukan sekadar medan mengumpul dana bagi menghadapi pilihan raya, bahkan
menjadi ruang memperkukuhkan ukhuwah, mengeratkan silaturahim serta
memperteguhkan semangat kebersamaan.
“Selain itu diselit
dengan perkongsian pandangan, pengalaman serta mesej kebersamaan dalam
masyarakat berbilang kaum,” katanya di sini.
Turut hadir Mursyidul
Am PAS, Dato’ Bentara Kanan Ustaz Ahmad Yakob; Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri
Tuan Ibrahim Tuan Man; Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd
Nassuruddin Daud.
Selain itu Timbalan
Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan; Adun Bukit Katil, Ridwan Sarif; Yang
Dipertua PAS Kota Bharu, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan; wakil-wakil rakyat dan
pimpinan PAS Kelantan.






