Langkau ke kandungan

Keluarga India kagum sahsiah anak belajar di PASTI

 

KUANTAN: Perkembangan
positif anak jiran yang pernah belajar di PASTI mendorong sebuah keluarga
India di Balok Makmur menghantar anak mereka belajar di PASTI.

Berikutan itu Jeevan
dan isterinya menghantar anak kedua mereka Darviin, 4 tahun belajar di PASTI
Ad-Deen, Balok Makmur.

Adun Beserah,
Dato’ Andansura Rabu berkata, Darviin anak keluarga berbangsa India yang bukan
beragama Islam, namun memilih PASTI untuk membolehkan anak mereka mendapat
pendidikan awal.

Katanya, perkembangan
Darviin menggembirakan mereka berbanding anak sulungnya berusia 6 tahun yang
belajar di institusi pendidikan lain.

“Alhamdulillah,
kepercayaan itu membuahkan hasil. Menurut ibu bapanya, Darviin menunjukkan
perkembangan yang baik, bukan sahaja dalam pembelajaran, malah dari segi
sahsiah dan tingkah lakunya.

“Bagi saya ini
membawa makna yang cukup besar. Pendidikan yang baik mampu membina jambatan
kepercayaan, merentasi perbezaan latar belakang, kaum dan agama,” katanya pada
catatan di laman sosialnya.

PASTI Ad-Deen
yang beroperasi sejak awal tahun 2000 kini menjadi pilihan ibu bapa menghantar
anak mereka bagi mendapat pendidikan di peringkat prapersekolahan.

Andansura turut merakam
ucapan terima kasih kepada Jeevan dan isteri atas kepercayaan yang diberikan kepada
PASTI.

Katanya, penghargaan
juga kepada guru-guru
PASTI Ad-Deen yang sedia
menerima, membimbing dan mendidik Darviin dengan penuh tanggungjawab.

“Inilah antara
nilai yang perlu terus dipelihara dalam institusi pendidikan kita. Terbuka untuk
mendidik, memberi yang terbaik dan memastikan setiap murid dibimbing dengan
sebaiknya,” ujarnya.

Menurutnya kisah
Darviin membanggakan warga PASTI yang didukung oleh guru-guru sangat komited
sehingga mampu meraih kepercayaan masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum
dan agama.

“Saya doakan
semoga PASTI terus menjadi institusi yang bukan sahaja mendidik, tetapi turut
membina hubungan dan kepercayaan dalam masyarakat,” tambahnya.

 

Media Point

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook Threads

Teruskan membaca

Semua artikel ↗