KUALA LUMPUR: Tanggal 24 November 2026, genap empat tahun Dato’ Seri Anwar Ibrahim menduduki kerusi Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri
Sehari dua ini muncul fakta-fakta di media sosial yang menggambarkan kejayaan Kerajaan Madani dalam tempoh empat tahun. Kata mereka bukan lagi sekadar angka.
Hampir semua catatan di media sosial berkongsi fakta yang serupa menggambarkan ekonomi Malaysia berkembang 5.2 peratus pada 2025, mengekalkan kadar pertumbuhan 5.2 peratus pada 2024.
Selain itu, defisit fiskal berjaya dikecilkan daripada 5.5 peratus pada 2022 kepada 3.7 peratus pada 2025. Pengangguran turun kepada 2.9 peratus, manakala inflasi 2025 berada pada kadar 1.4 peratus.
Turut dikongsi pelaburan diluluskan meningkat daripada RM267.8 bilion pada 2022 kepada RM431.1 bilion pada 2025.
Dan jumlah perdagangan negara melepasi RM3 trilion buat kali pertama, manakala kedudukan daya saing Malaysia melonjak kepada tangga ke-15 dunia pada 2026.

Bagaimanapun seorang pemerhati politik, Shen Yee Aun berkongsi pandangan, purata pertumbuhan KDNK tahunan (2023–2026) hanya 4.86 peratus yakni lebih rendah berbanding zaman Tun Dr Mahathir Mohamad (1982–2002) iaitu 6.24 peratus.

Tun Abdullah
Malah, di era Tun Abdullah Ahmad Badawi (2004–2008) 5.76 peratus, Dato’ Seri Najib Razak (2010–2017) 5.53 peratus dan Dato’ Seri Dr Ismail Sabri (2021–2022) mencatat 6.18 peratus.
“Anda sebenarnya tidak menunjukkan prestasi lebih baik berbanding pemimpin terdahulu, walaupun menggunakan metrik yang sama untuk bermegah.
“Prestasi anda sebenarnya lemah, namun anda mendakwa seolah-olah telah mencapai kejayaan. Bagaimana dengan kedudukan daya saing IMD yang kini anda banggakan di tangga ke-15?
“Malaysia pernah berada di tangga ke-12 pada tahun 2014, di bawah kerajaan yang anda sendiri kritik selama bertahun-tahun,” katanya pada catatan di laman sosialnya.

Zaharin
Veteran Umno Dato’ Zaharin Mohd Yasin pula menyifatkan kesilapan terbesar Anwar kerana gagal menterjemahkan sebahagian besar retorik politiknya kepada perubahan yang dapat dirasai rakyat.
Katanya, kesilapan pertama bermula dengan pembentukan Kerajaan Perpaduan.
“Anwar yang bertahun-tahun menyerang Umno dan Barisan Nasional akhirnya bekerjasama dengan parti yang pernah menjadi sasaran utama perjuangan reformasi.
“Kerjasama itu mungkin diperlukan untuk membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 ekoran parlimen tergantung,” katanya pada kenyataan di laman sosial.
Menurutnya Anwar sepatutnya menjelaskan dengan lebih jujur bahawa tuntutan mendapatkan kuasa memerlukan kompromi politik yang besar.

