KUALA LUMPUR: Isu pengurangan premium tanah Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) kepada RM1,000 daripada anggaran asal RM4.67 juta mendapat perhatian Dewan Rakyat.
Hari ini Speaker Dewan Rakyat membenarkan usul mengenai isu berkenaan yang dikemukakan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Ahmad Amzad Hashim dibahaskan di Kamar Khas.

Johari Abdul
Tan Sri Johari Abdul berkata, beliau menerima satu pemberitahuan usul di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) yang dikemukakan Ahli Parlimen Kuala Terenggganu pada 19 November lepas.
“Bagi membolehkan perkara ini dipertimbangkan oleh Majlis Mesyuarat, saya berpuas hati bahawa perkara yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat memenuhi tiga syarat.
“Syarat pertama perkara ini tertentu. Syarat kedua, perkara ini melibatkan kepentingan orang ramai. Syarat ketiga, perkara ini perlu disegerakan.
“Saya telah meneliti perkara ini dan mendapati perkara ini merupakan perkara yang tertentu, melibatkan kepentingan orang ramai dan perlu disegerakan,” katanya ketika membenarkan usul tersebut.
Oleh yang demikian beliau membenarkan usul tersebut dibincangkan hari ini di Kamar Khas.

Amzad
Sebelum itu Ahmad Amzad membangkitkan usul tergempar berhubung keputusan kerajaan memberi lanjutan tempoh pajakan selama 99 tahun kepada Kuala Lumpur Selangor Chinese Assembly Hall, dengan kadar premium hanya RM1,000 berbanding anggaran asal RM4.67 juta.
Katanya, usul tersebut dikemukakan bagi mendapat penjelasan daripada menteri berhubung asas pertimbangan, justifikasi serta prinsip yang digunakan dalam menentukan kadar premium tersebut.
“Kerajaan perlu menjelaskan sudut ketelusan, keadilan dan kesaksamaan dalam urusan pentadbiran tanah.
“Usul ini turut melibatkan kepentingan orang ramai kerana tanah kerajaan merupakan aset awam yang perlu diuruskan secara telus, adil dan bertanggungjawab,” katanya.
Kata beliau rakyat berhak mengetahui bagaimana nilai premium ditentukan, apakah justifikasi pengurangan yang diberi dan sama ada kelonggaran dibenarkan oleh undang-undang serta dasar kerajaan turut terbuka kepada semua pihak.
Oleh itu beliau berkata, Dewan Rakyat perlu membincangkan perkara ini dengan segera bagi mendapatkan penjelasan rasmi kerajaan bagi memastikan dasar pemberian tanah dan pengurangan premium dilaksanakan secara konsisten, telus dan adil kepada semua pihak.

Hannah Yeoh
Baru-baru ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dilapor berkata, penetapan premium tanah pada kadar nominal RM1,000 bagi pembaharuan pajakan KLSCAH mengambil kira perubahan status tanah bangunan itu daripada komersial kepada institusi.
Menurutnya perubahan status itu bermakna tanah berkenaan tidak boleh lagi dibangunkan untuk tujuan komersial seperti pembinaan kondominium atau pusat beli-belah, sebaliknya dikekalkan bagi kegunaan institusi dan pemeliharaan bangunan warisan.
Bagaimanapun pelbagai pihak membantah pengurangan kadar premium daripada RM4.67 juta kepada RM1,000 yang dianggap sebagai tidak masuk akal.

