KUALA LUMPUR: Seorang penyokong kerajaan membangkitkan perbezaan kenyataan antara Timbalan Perdana Menteri 1 (TPM1) Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Perdana Menteri (PM) berkaitan Turkiye bersedia menerima pelarian Rohingya.
Ahli parlimen (MP) Tebrau dari PKR, Jimmy Puah Wee Tse menganggap kenyataan berbeza menyebabkan imej negara di luar terjejas.

Jimmy
Katanya, kerajaan dan rakyat Turkiye membantah kenyataan yang mendakwa negara itu bersedia menerima pelarian daripada Myanmar.
“Timbalan Perdana Menteri sebelum ini menyebut bahawa Turkiye bersedia menerima 10,000 orang pelarian Rohingya.
“Namun, hari ini Perdana Menteri telah menjelaskan perkara tersebut sebenarnya tidak benar. Pada pandangan saya, insiden ini telah menyebabkan Malaysia menjadi bahan jenaka di peringkat antarabangsa.
“Bagaimanakah TPM boleh mengeluarkan kenyataan yang kini menimbulkan kemarahan rakyat dan kerajaan Turkiye?,” katanya ketika mengaju soalan tambahan pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika menjelaskan perkara itu berkata, beliau mendapat pengesahan daripada kerajaan Turkiye dua hari lalu negara terbabit belum bersedia untuk mempertimbangkan permohonan tersebut.
Bagaimanapun, pihak Malaysia telah menyuarakan permohonan supaya Turkiye mempertimbangkan perkara itu, seperti yang dinyatakan oleh TPM 1.
“Namun, secara rasmi, pihak Turkiye masih belum bersedia untuk mempertimbangkannya atas alasan negara itu kini menanggung lebih empat juta pelarian dari negara-negara Arab dan beberapa negara jiran.
“Itulah kenyataan rasmi yang saya terima daripada kerajaan Turkiye. Bagaimanapun, kita tidak mahu perkara ini disalahertikan kerana usaha yang disuarakan oleh Timbalan Perdana Menteri 1 selaras dengan pendirian Malaysia untuk mencari negara ketiga yang boleh menerima pelarian,” katanya.

Pada 20 November lepas Zahid dilapor berkata, Jemaah Menteri bersetuju dengan cadangan inisiatif penempatan 10,000 pelarian Rohingya susulan hasil lawatan kerjanya ke Turkiye baru-baru ini.
Menurutnya sebanyak 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia bakal ditempatkan di Turkiye melalui program latihan kemahiran berstruktur, sebagai sebahagian daripada usaha menangani isu keberadaan etnik itu di Malaysia.

Sehubungan itu Anwar berkata, TPM 1 berpandangan Turkiye mungkin boleh mempertimbangkan permohonan tersebut memandangkan negara itu mempunyai tradisi menerima dan membantu ramai pelarian dari negara Islam.
Namun, katanya Turkiye telah menyatakan dengan tegas mereka belum bersedia kerana sudah menanggung jumlah pelarian yang ramai.

Mumtaz
Ketika menjawab soalan asal Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi Perdana Menteri juga berkata, hubungan diplomatik dengan Amerika Syarikat dan China dimanfaatkan untuk membangkitkan isu tersebut.
“Saya telah membangkitkan perkara tersebut dalam pertemuan di luar negara dan meminta supaya satu penyelesaian yang baik dicapai bagi melindungi kepentingan rakyat Myanmar.
“Namun, kita juga perlu memahami bahawa wilayah Rakhine yang dikaitkan dengan isu ini sebahagian besarnya dikuasai oleh Arakan Army, bukannya tentera junta Myanmar.
“Ini merupakan masalah dalaman Myanmar. Bagaimanapun, pendirian kita agak tegas dan kita telah membangkitkan perkara ini melalui ASEAN, OIC serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” ujarnya.
Berhubung isu Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) katanya, terdapat beberapa permasalahan.

pelarian Rohingya
Oleh itu menurutnya Jemaah Menteri telah memutuskan supaya pengurusan migrasi diambil alih Kementerian Dalam Negeri (KDN) kerana proses mendapatkan dokumen dan pas khas melalui UNHCR terlalu mudah.
“Kita sedang berdepan dengan masalah jumlah pelarian yang besar. Seperti yang saya sebutkan, jumlahnya hampir 180,000 orang pelarian Rohingya, selain pelarian daripada etnik lain,” tambahnya.

