Langkau ke kandungan

Tidak boleh dakwa seseorang atas alasan politik – PM

KUALA LUMPUR: Persidangan Dewan Rakyat hari ini dikejutkan apabila Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim mendedah beliau bukan sekadar dikritik secara terbuka, sebaliknya ada kes melibatkan ugutan.

Kata beliau kes tersebut dianggap sebagai satu kesalahan dan polis perlu mengambil tindakan.

“Malah, terdapat kenyataan individu berkenaan sanggup membayar berjuta-juta ringgit. Dan sudah tentu polis perlu mengambil tindakan. Individu tersebut telah mengaku bersalah dan dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan.

“Pemantauan terhadap isu ini dilaksanakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” katanya menjawab soalan Dato’ Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang bertanya berkaitan isu 3R.

Rosol Wahid

Bagaimanapun kata Rosol ugutan jenayah terhadap Perdana Menteri bukan termasuk dalam isu 3R, sebaliknya ia merupakan perkara yang berbeza.

Perdana Menteri sebelum itu berkata, isu 3R merupakan perkara yang dibincangkan setiap kali mesyuarat Majlis Raja-Raja diadakan.

Tujuannya kata beliau untuk mengawal keharmonian, menghormati prinsip Raja Berperlembagaan serta menjaga keharmonian antara kaum dan agama.

“Itulah prinsip yang menjadi pegangan kita. Malah, setiap mesyuarat Majlis Raja-Raja mempunyai agenda khusus untuk mendapatkan laporan mengenai perkembangan dan tindakan yang diambil.

“Dalam konteks ini, langkah-langkah yang dilaksanakan adalah selaras dengan keputusan tersebut. Jadi, tidak timbul persoalan bahawa kes-kes berkenaan sengaja dipolitikkan,” ujarnya.

Menurutnya juga antara kes yang telah diputuskan oleh mahkamah termasuk beberapa kes tahun ini melibatkan penghinaan terhadap institusi diraja.

Kedua, kes berkaitan kewibawaan institusi diraja. Dan satu kes masih menunggu keputusan representasi, manakala satu lagi telah mengaku bersalah dan didenda RM8,000.

“Seterusnya, kes memijak al-Quran yang merupakan isu berkaitan agama. Individu terbabit telah dipenjara selama sembilan bulan.

“Kemudian, kes penghinaan terhadap masyarakat dan keturunan Cina yang membawa kepada hukuman penjara selama dua bulan. Terdapat juga beberapa kes yang masih menunggu keputusan Peguam Negara dan ada yang sedang dibicarakan di mahkamah,” katanya.

Oleh itu kata beliau tidak timbul persoalan tindakan itu bermotifkan politik.

“Saya telah memberikan jaminan bahawa seseorang tidak sepatutnya didakwa hanya kerana mengkritik Perdana Menteri. Namun, janganlah kita menolak prinsip penguatkuasaan berkaitan isu 3R secara keseluruhannya,” kata beliau.

Malah menurutnya jika benar terdapat kes yang bermotifkan politik, perkara itu boleh dibangkitkan.

“Seperti yang telah saya tegaskan, undang-undang tidak boleh digunakan untuk mendakwa seseorang semata-mata atas alasan politik,” ujarnya.

Rosol turut membangkitkan kejadian yang berlaku di mana seorang individu pergi ke Terengganu dan membuat komen kedai-kedai di negeri itu ditutup antara jam 12 tengah hari hingga 2 petang.

Menurutnya komen tersebut dibuat secara bergurau mengenai orang Islam yang menunaikan solat Jumaat.

“Perkara itu mendapat kritikan ramai kerana pada pandangan saya, individu berkenaan tidak sepatutnya membuat kenyataan sedemikian apabila berkunjung ke sebuah negeri yang merupakan sebahagian daripada Malaysia.

“Isu kedua pula melibatkan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua, yang beberapa kali mengeluarkan kenyataan berkaitan Sultan Selangor, termasuk isu penternakan babi,” ujarnya.

Media Point

Kongsi artikel ini

WhatsApp Facebook Threads

Teruskan membaca

Semua artikel ↗