KOTA BHARU: Kerajaan negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi berkaitan mengadakan kempen menutup aurat dalam kalangan wanita Muslim secara berterusan sejak dahulu sehingga sekarang.
Kesedaran itu dipupuk selaras dengan dasar kerajaan negeri Membangun Bersama Islam (MBI) yang dilaksanakan sejak awal 1990.

Dan hari ini diadakan forum ‘Auratmu Maruahmu’ yang dianjurkan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di Mydin Tunjong Hypermarket.

Ustaz Mohd Asri
Perasmian program berkenaan diisempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Ustaz Mohd Asri Mat Daud.
Turut hadir Yang Dipertua MPKB-BRI, Dato’ Mohd Roshdi Ismail; Ketua Whip MPKB-BRI, Mohamad Nuri Mat Yaacob, Ahli-Ahli Majlis, pegawai dan kakitangan MPKB-BRI.

Mohd Roshdi
Forum menampilkan selebriti Angeline Tan, pendakwah bebas Ustazah Asmak Husin dan Ustaz Saibon Ismail dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK).
Manakala Ustaz Nor Azariza Mohd Alawi bertindak sebagai moderator.

Peserta yang hadir
Ketika berucap pada majlis itu Mohd Asri berkata, kepentingan menjaga aurat sebagai lambang kehormatan dan maruah diri.
“Semoga perkongsian yang disampaikan dapat memberi kesedaran, membuka minda serta menjadi inspirasi kepada semua peserta untuk menghayati tuntutan menutup aurat dalam kehidupan seharian,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua panel jemputan, pengurusan Mydin Tunjong Hypermarket dan peserta yang hadir.

Sebelum ini sering dianjurkan kempen dan program pengedaran risalah mengenai kewajipan menutup aurat dan Penerangan Undang-Undang Syariah.
Program berkenaan diadakan di lokasi tumpuan ramai termasuk RTC Tunjong, pasar raya, Pasar Besar Siti Khatijah, KB Mall dan pelbagai tempat lagi.
Kempen menutup aurat juga dipaparkan melalui papan iklan di kawasan bandar di Kelantan.

