Skip to content
Follow us:

Menu

Preferences

Anak-anak bukan bahan eksperimen – pakar

KUALA LUMPUR: Ketika Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bercadang mewajib kanak-kanak usia enam tahun memasuki tahun satu pada 2029, sebahagian besar murid masih berdepan masalah menguasai kemahiran asas.

Pakar pendidikan, Dr Anuar Ahmad berkata, masalah yang ada belum selesai, namun KPM mahu memulakan kohort kanak-kanak lebih muda memasuki tahun satu.

Dr Anuar

Kata beliau sepatutnya dilaksanakan kajian keberkesanan terhadap kohort kemasukan 2027-2028 terlebih dahulu.

“Teliti dahulu keupayaan pencapaian akademik, perkembangan emosi, kemahiran sosial dan kesejahteraan mereka secara menyeluruh sebelum umumkan dasar baharu berkaitan kemasukan di usia 6 tahun.

“Kongsikan hasil kajian kepada masyarakat. Sedangkan KPM sudah menyasarkan pelaksanaan wajib pada 2029 sedangkan keberkesanan pelaksanaan 2027 belum diketahui,” katanya pada kenyataan di laman sosial.

Baru-baru ini Ketua Pengarah Pendidikan, Dato’ Dr Mohd Azam Ahmad dilapor berkata, KPM bercadang mewajibkan kemasukan kanak-kanak usia enam tahun ke Tahun Satu mulai sesi persekolahan 2029.

Menurutnya usaha persediaan sudah dimulakan tahun ini bagi memastikan pelaksanaan dasar itu berjalan lancar.

Dr Anuar berkata, apa masalah pendidikan negara yang ingin diselesaikan dengan mempercepatkan usia kemasukan kanak-kanak ke sekolah rendah.

Menurutnya lebih awal usia persekolahan bukan penyelesaian kelemahan kualiti pembelajaran.

Guru berdepan dengan banyak tugasan

“Jangan mudah menggunakan alasan bahawa banyak negara maju memulakan persekolahan pada usia enam tahun.

“Kalau mahu mencontohi negara maju, contohi juga bilangan murid dalam kelas, kecukupan guru, pedagogi, kemudahan sekolah, silibus dan sistem sokongan pembelajaran mereka,” ujarnya.

Sedangkan kata beliau bilik darjah berdepan dengan murid sesak, beban tugas guru bertambah dan kekurangan guru di sekolah rendah.

Katanya beliau menolak pendekatan menggubal apa juga dasar pendidikan tanpa bukti keberkesanan dan kesiapsiagaan sistem yang meyakinkan.

“Lihat apa yang sudah berlaku dengan pelaksanaan PBD, PdPR, lencana jalur gemilang, DLP dan sebagainya. Jangan lagi berlaku ‘rumah siap, pahat berbunyi’.

“Reformasi pendidikan sepatutnya bermula dengan fokus meningkatkan kualiti pendidikan, bukan mengubah struktur persekolahan. Anak-anak kita bukan bahan eksperimen dasar baharu pendidikan yang semborono,” katanya.

 

 

Media Point

Share this article

WhatsApp Facebook Threads

Continue reading

All articles ↗