Skip to content
Follow us:

Menu

Preferences

SPRM Kelantan cetus ekosistem tolak rasuah

Oleh Damia Hana |

KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan akan melaksanakan program pencegahan rasuah secara berterusan sebagai komitmen menghadapi cabaran tahun 2027.

Pengarah SPRM Kelantan, Dato’ Syamsul Osman berkata, tahun baharu tidak sekadar tertumpu kepada kempen kesedaran, sebaliknya turut melibatkan tindakan mengenal pasti risiko serta memperbaiki kelemahan dalam sistem pengurusan organisasi.

Syamsul

Katanya, SPRM akan mempergiatkan usaha mengesan kelemahan tatakelola dan ruang berlakunya rasuah lebih awal bagi mengelakkan penyelewengan serta penyalahgunaan kuasa sebelum sesuatu salah laku berlaku.

Kata beliau pendekatan lebih strategik menjadi keutamaan akan memberi tumpuan kepada pendidikan masyarakat, pengukuhan tatakelola serta kerjasama strategik dengan pelbagai pihak.

“SPRM Kelantan mahu memastikan usaha pencegahan tidak hanya tertumpu kepada penyampaian mesej kesedaran, sebaliknya menjurus kepada tindakan mengenal pasti ruang, kelemahan dan risiko yang boleh membuka peluang kepada rasuah, penyalahgunaan kuasa serta penyelewengan.

“Pendekatan lebih awal penting bagi membolehkan langkah penambahbaikan dilaksanakan sebelum sesuatu salah laku berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini.

Pegawai SPRM menyampaikan ceramah

Mengulas pencapaian sepanjang 2026, beliau berkata, Cawangan Pendidikan Masyarakat (PenMas) SPRM Kelantan melaksanakan 147 aktiviti antirasuah melibatkan pelbagai lapisan masyarakat di seluruh negeri.

Program berkenaan merangkumi 101 ceramah jemputan dan 54 program integriti serta pendidikan antirasuah, selain sesi libat urus, kunjungan hormat, Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dan pameran pendidikan antirasuah.

Menurutnya, pencapaian itu mencerminkan komitmen berterusan SPRM Kelantan dalam usaha memperluas jangkauan pendidikan antirasuah, selain memastikan mesej integriti disampaikan secara konsisten kepada penjawat awam, institusi pendidikan dan generasi muda.

Program diskusi bersama agensi kerajaan

Syamsul juga berkata, usaha berkenaan akan terus diperkasakan pada 2027 menerusi kerjasama lebih erat dengan kerajaan negeri, agensi awam, sektor swasta, institusi pendidikan dan masyarakat.

“Keberkesanan membanteras rasuah bukan terletak kepada kekuatan sesebuah agensi semata-mata, tetapi memerlukan iltizam dan tindakan bersama semua pihak.

“Kita mahu 2027 menjadi satu lagi langkah ke hadapan dalam membina ekosistem yang menolak rasuah, menjunjung integriti dan mengutamakan amanah serta akauntabiliti,” katanya.

Media Point

Share this article

WhatsApp Facebook Threads

Continue reading

All articles ↗